Bernama-Dua Anggota 10 Briged Para Maut Selepas Jalani Latihan
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Dua anggota 10 Briged Para dari Kem Terendak, Melaka meninggal dunia pada Jumaat selepas lemas ketika menjalani latihan simulasi serangan perairan di kolam Menara Serbaguna Batalion ke-lapan Rejimen Ranjer Diraja, Melaka.
Prebet Syahrul Nizam Salim, 24, dari Kor Kesihatan Diraja dan Kraftman Mohd Hafizzullah Sohok dari Skuadron Armor (Para), 19, meninggal dunia di Hospital Melaka.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Sulaiman Moideen Kutty berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, kedua-dua anggota sedang dalam latihan kursus penyesuaian Beret Merun (Para).
"Bedah siasat mengesahkan sebab kematian adalah lemas. Keluarga kedua-dua mangsa telahpun dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya kepada Bernama, di sini.
Beliau berkata kedua-dua jenazah dibedah siasat di Hospital Besar Melaka sebelum dibawa ke Masjid As-Syuhada di Kem Terendak untuk disembahyangkan.
Syahrul Nizam berasal dari Felda Palong 7, Gemas, Negeri Sembilan dan Mohd Hafizullah dari Pasir Puteh, kedua-duanya masih bujang.
Sulaiman juga memaklumkan bahawa satu lembaga siasatan khas yang akan diketuai oleh seorang pegawai kanan dan tiga pegawai telah ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian.
Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof ketika dihubungi Bernama mengesahkan kematian dua anggota tentera tersebut tetapi belum menerima laporan penuh berhubung kejadian itu.
bagus la ada lembaga siasatan khas....kes berat ni,jadi isu pulak nanti
0 comments:
Post a Comment