Header Ad Banner

TANDA PILIHAN RAYA NEGERI HAMPIR

Taib: BN sudah sedia, calon sudah ada Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya negeri dan senarai nama calon juga telah diterima, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

This is default featured post 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Wednesday, October 27, 2010

Pembunuh yang tak menyesal?

Kosmo -Tiada sesalan di wajah pembunuh
DI rumah inilah Faridah dibunuh oleh Omar (gambar kecil) sebelum mayatnya dibuang di kawasan belukar di Persiaran Minden, George Town pada 12 September 2006.

GEORGE TOWN – “Nasiblah!” Selain ungkapan tersebut, seorang peniaga makanan, Omar Shaari ternyata tidak menunjukkan sebarang sesalan pada wajahnya selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini semalam.

Omar, 49, dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Datuk Abdul Halim Aman selepas didapati bersalah membunuh jirannya, Faridah Mohd. Sharif, 46, yang mayatnya ditemui hampir reput di kawasan belukar di Persiaran Minden di sini empat tahun lalu.
Kata-kata ringkas Omar itu ternyata menyentap perasaan galeri awam apatah lagi ditambah dengan tindakannya tersenyum sambil mengangkat bahu ke arah abang kandung, isteri dan anaknya yang turut berada di situ selepas mendengar penghakiman Abdul Halim.

Aleeza Kasim bercerai?


Kosmo - Pelakon filem Susuk bercerai
ALEEZA kelihatan sebak ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur bersama Mohd. Fauzi semalam.

KUALA LUMPUR – Model dan pelakon filem Susuk, Aleeza Kasim sah bercerai dengan suaminya, Datuk Mohd. Fauzi Che Rus di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam. Lafaz cerai tersebut dibuat oleh suaminya secara tertutup di kamar Hakim Syarie Mohd. Suhaily Rosdi.

Pasangan tersebut memasuki kamar hakim pada pukul 9.15 pagi dan keluar kira-kira 15 minit kemudian.
Aleeza, 40, dilihat menangis teresak-esak manakala Mohd. Fauzi, 47, nampak tenang.
Ketika dihampiri oleh wartawan dan jurufoto, kedua-dua mereka enggan ditemu bual.
Mereka kemudian pulang secara berasingan menaiki kenderaan masing-masing.

Monday, October 25, 2010

pakej rawatan rambut tipu...rugi rm17000

MAHATHIR menunjukkan pakej rawatan rambut yang ditawarkan oleh pusat rawatan rambut Yun Nam Hair Care di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Berhabis sehingga RM17,000 bagi merawat masalah rambut, namun hasil yang diperoleh mengecewakan.
Tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan pusat rawatan rambut Yun Nam Hair Care, juruteknik sebuah kilang di sini, Mahathir Taib, 24, memfailkan kesnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini pada bulan lepas.

Dalam perbicaraan semalam, Presiden TTPM, Datuk A. Mutalib Mohd. Razak mengarahkan pusat rawatan rambut itu membayar ganti rugi RM1,500 serta memberikan 12 rawatan rambut percuma kepada Mahathir.
Dua wakil Yun Nam Hair Care turut hadir pada perbicaraan itu.
Dalam tuntutannya, Mahathir dari Sungai Petani, Kedah mendakwa tidak berpuas hati selain berasa terpedaya kerana tidak diberi penerangan yang jelas berhubung rawatan yang diterimanya.
Mahathir memberitahu, semasa pertama kali dia berkunjung ke pusat rawatan itu di sebuah pusat beli-belah di Bukit Mertajam dekat sini pada Oktober tahun lalu, dia diberitahu masalah rambutnya boleh dirawat lalu jururunding di situ menawarkan pakej rawatan berharga RM1,500.
Untuk pakej itu, dia menerima 10 kali sesi rawatan rambut menggunakan formula herba termasuk empat botol produk berharga RM216.

Diserbu kali kedua jual VCD haram di TTDI

Othman (kanan) menunjukkan VCD dan DVD yang dirampas di dalam sebuah van di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Tidak kenal erti serik. Biarpun pernah diserbu kerana menjual cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak dari dalam sebuah van pada Ogos lalu, pemilik premis di Taman Tun Dr. Ismail di sini masih berdegil dan terus menjalankan kegiatan itu.

Pemilik premis itu didapati menjual VCD dan DVD asli di dalam kedai manakala versi cetak rompak dijual dari dalam van yang diletakkan tidak jauh dari situ.
Kegiatannya sekali lagi terbongkar selepas lapan anggota dan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menyerbu lokasi tersebut pada pukul 6.45 petang, Ahad lalu.
Menurut Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, bertindak atas maklumat awam, pihaknya berjaya mengesan sebuah van jenis Toyota berwarna biru kira-kira 200 meter dari premis tersebut.
Katanya, pemilik premis itu menggunakan modus operandi yang sama seperti sebelum ini iaitu pelanggan akan menempah VCD atau DVD cetak rompak dari premis berkenaan melalui nombor yang ada di dalam katalog dan kemudiannya seorang pekerja akan menaiki motosikal untuk mengambil tempahan dari dalam van.

KTMB lancar tren bawa 50 kargo..terpanjang di Asia Tenggara

Kosmo -KTMB lancar tren kargo terpanjang
KERETA API kargo terpanjang di Asia Tenggara yang dilancarkan di stesen KTMB Padang Besar semalam.


PADANG BESAR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatat sejarah apabila melancarkan Tren Kargo Terpanjang Menggunakan Lokomotif Tunggal yang menarik 50 gerabak di Stesen KTMB Padang Besar di sini semalam.

Pengurus Besar Perkhidmatan Kargo KTMB, Azman Ahmad Sharabi berkata, kargo terpanjang di Asia Tenggara itu membawa 100 TEU (unit bersamaan 20 kaki) sepanjang 900 meter itu berlepas dari Stesen KTMB di sini ke Pulau Pinang.
Katanya, itu mengambil masa sembilan jam untuk sampai ke Pulau Pinang dan tempoh itu dapat disingkatkan kepada di antara empat dan lima jam apabila landasan berkempar Ipoh-Padang Besar siap sepenuhnya pada 2013.
"Lazimnya sesebuah lokomotif menarik sehingga 20 gerabak dan boleh ditingkatkan kepada 25 gera- bak atas permintaan pada satu-satu masa.
"Namun, dengan pemilikan aset baru dengan loko- motif yang lebih berkuasa tinggi kelas 26 dan 29, ia dapat ditingkatkan dan boleh membawa sehingga 50 gerabak pada satu-satu masa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kargo Terpanjang Asia Tenggara di sini.

Sunday, October 24, 2010

Budak 11 tahun tidak pernah makan nasi

Kosmo-Budak 11 tahun tidak pernah makan nasi
ROHANA memberi Muhamad Helmi biskut kerana dia didakwa enggan makan nasi sejak 10 tahun lalu ketika ditemui di Jerteh, Besut semalam.


BESUT – Seorang budak lelaki berusia 11 tahun mendakwa tidak pernah makan walau sesuap nasi dan hanya menjadikan kuih dan makanan berasaskan gandum sebagai makanan rujinya.
Muhamad Helmi Ghazali dari Kampung Seberang, Jerteh juga dikatakan begitu takut untuk menyentuh makanan asasi itu sejak dilahirkan 11 tahun lalu.
Ibu Muhamad Helmi, Rohana Jusoh, 47, berkata, keganjilan anak keempat daripada enam adik-beradik itu mula diketahui ketika dia menjangkau usia enam bulan.
Pada masa itu, katanya, dia cuba memberi makanan bubur daripada bijiran beras kepada Muhamad Helmi, tetapi anaknya itu enggan makan walau sesuap.
“Dia tidak menghadapi apa-apa masalah ketika dilahirkan dan tumbesarannya juga normal, malah dia tetap aktif dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Pengawal tidur 12 bas ekspres hangus

Kosmo -Pengawal tidur, 12 bas hangus
Pemandu melihat bas yang hagus dalam kebakaran di Depot Bas Ekspres Budaya di Jalan Panji, Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU – Gara-gara pengawal keselamatan didakwa tertidur, 12 buah bas Ekspres Budaya milik Syarikat Transline Express Sdn. Bhd. bernilai RM2.6 juta musnah dijilat api di depot menempatkan bengkel dan tempat menyimpan bas di Panji, Pengkalan Chepa dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam kelmarin, kesemua bas tersebut yang disusun berdekatan di salah satu sudut di depot tersebut hangus sama sekali.
Ketua Balai Bomba Pengkalan Chepa, Saipu Bhari Mohd. Noor (gambar kecil) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.32 tengah malam kerana pengawal yang bertugas menjaga depot itu semasa kejadian didakwa tertidur.
Menurut Saipu, pihaknya menghantar sebuah jentera bersama lima anggota ke tempat kejadian sebelum tiba di lokasi tiga minit kemudian kerana kedudukan balai bomba dan depot bas itu hanya dalam jarak dua kilometer.

Thursday, October 21, 2010

Jual lori semurah RM3,000??

Kosmo-Jual lori curi semurah RM3,000
THAIVEEGAN menunjukkan sebahagian barang rampasan dari empat lelaki pada sidang akhbar di ibu Pejabat Daerah Gombak, Selangor semalam.

GOMBAK - Kegiatan satu sindiket yang aktif menyamun dan mencuri lori di daerah ini sejak awal tahun lalu tumpas apabila polis menahan empat lelaki dipercayai anggota sindiket itu dalam Ops Lejang pada Selasa lalu. Penahanan keempat-empat suspek yang berusia 26 tahun itu dibuat berikutan penubuhan satu pasukan khas selepas terdapat peningkatan bagi kes jenayah tersebut di daerah ini sejak dua bulan lalu.
Sindiket itu dipercayai telah mencuri lebih 22 buah lori tiga hingga 16 tan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Kesemua kenderaan yang dicuri itu dihantar ke utara semenanjung dan dijual kepada pihak tertentu dengan harga di antara RM3,000 hingga RM5,000 sebuah.
Harga sebenar setiap lori itu dianggarkan mencecah RM80,000.
Dalam tangkapan pada pukul 5 petang Selasa lalu, polis mulanya telah menahan sebuah kereta yang dinaiki oleh empat lelaki di kawasan Desa Jaya di sini.

Bakar rumah guru kerana cemburu

Kosmo-Bakar rumah guru kerana cemburu


MOHD. NOR (kiri) menunjukkan sampul surat berisi kelongsong peluru dan sisa tayar yang dibakar di rumah seorang guru tuisyen di Mentakab pada sidang akhbar di Temerloh semalam.

TEMERLOH - Akibat cemburu terhadap seorang guru tuisyen, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun sanggup melakukan ugutan bunuh dengan menghantar kelongsong peluru dan cuba membakar kediaman guru itu di Mentakab dekat sini dalam kejadian Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor, rumah yang menjadi pusat tuisyen itu adalah lokasi di mana teman wanitanya yang berusia 17 belajar dengan guru berkenaan yang juga berusia 19 tahun.
"Ketika kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi itu, suspek dipercayai membakar tayar kereta yang dibawanya sehingga menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian tangga dan merosakkan suis elektrik utama rumah tersebut.
"Guru itu kemudian menghubungi bomba dan selepas kebakaran berjaya dipadamkan, dia nampak tulisan Cina yang ditulis pada kertas A4 yang diletakkan pada cermin keretanya.
"Tulisan yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu bermaksud: "Saya harap kamu masih hidup dan bernasib baik dapat jumpa keluarga kamu" dan satu lagi tulisan Cina yang ditulis melintang bermaksud 'mati'," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tuesday, October 19, 2010

cari dadah,jumpa pistol & 367 peluru

Kosmo-Cari dadah, jumpa pistol dan peluru
KOK LIANG (dua dari kiri) menunjukkan pistol jenis Smith and Wesson dan peluru yang ditemui di sebuah rumah di Taman Desa Melintang, Teluk Intan semalam.


TELUK INTAN - Sepasukan polis yang menyerbu rumah sepasang kekasih dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah jenis syabu di sebuah rumah teres di Taman Desa Melintang di sini terkejut apabila menemui dua pucuk pistol jenis Smith and Wesson petang semalam.

Bertindak atas maklumat orang ramai, polis tidak hanya menemui empat biji pil eramin-5 dan tiga peket plastik dadah jenis syabu seberat lebih 90 gram tetapi turut merampas 367 butir peluru pelbagai jenis.
Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dua pucuk pistol itu disimpan di dua tempat berasingan di bilik tidur.
"Semasa ditahan, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu bersama kekasihnya seorang warga Thailand (33 tahun) berada di dalam rumah tersebut.
"Polis yang menggeledah premis berkenaan menemui sepucuk pistol berisi enam biji peluru hidup disimpan di dalam sarung bantal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini semalam.
Katanya, sepucuk pistol berisi enam peluru berserta dua kotak yang setiap satunya mengandungi 40 butir peluru 0.22 milimeter (mm) dijumpai tersorok dalam kepingan jubin lantai bilik tidur utama berkenaan.

Monday, October 18, 2010

Bunuh diri kerana cinta??

Kosmo-Sanggup mati demi cinta
Anggota Bomba dan Penyelamat mengutip serpihan mayat Santhakumari yang maut selepas digilis kereta api di Kilometer 25, Jalan Gemas-Bahau, Jempol semalam.


BAHAU – Gara-gara percintaan dengan seorang lelaki tidak direstui keluarga, seorang janda beranak empat didakwa sanggup menamatkan riwayat hidupnya dengan berbaring di atas landasan kereta api sebelum badannya digilis di Kilometer 25, Jalan Gemas-Bahau, Jempol kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 6.30 petang dan mangsa P. Santhakumari, 48, didakwa menunggu di landasan itu sebelum bertindak berbaring di atas landasan apabila mendengar kehadiran kereta api.
“Pemandu kereta api itu dikatakan nampak wanita itu dan cuba memperlahankan kereta api tetapi gagal.

“Badan wanita itu berkecai akibat digilis kereta api itu,” kata beliau.
Menurut beliau, kereta api terbabit ketika kejadian itu merupakan kereta api membawa muatan barang yang dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Kuala Lipis, Pahang.

“Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat,” kata beliau.

Sunday, October 17, 2010

curi pasir di kolam air panas...?

Kosmo-Tasik air panas lubuk curi pasir
PELBAGAI jentera berat begitu rakus mengorek pasir di Semenyih baru-baru ini.

SEMENYIH – Jika satu masa dulu tasik air panas di kawasan Batu 28, Kampung Pasir di sini menjadi tarikan pengunjung untuk bersantai namun ia cuma tinggal sejarah selepas ia dirosakkan oleh sindiket korek pasir.
Kawasan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Semenyih itu terlindung dan kesempatan itu digunakan sebuah sindiket untuk mengorek pasir di beberapa tempat di sekitarnya
Tarikan utama pengunjung ke tasik yang berkeluasan 10 hektar (24.7 ekar) itu sebelum ini adalah kerana keistimewaan airnya yang didakwa mampu dijadikan penawar penyakit kulit.
Namun, sejak setahun lalu, kawasan yang merupakan milik kerajaan Selangor itu tidak ubah seperti koloni bagi warga Myanmar dan Indonesia. Mereka tinggal di rumah-rumah sewa di Kampung Pasir di sini dan diupah oleh sindiket.
Sejak adanya kegiatan mengorek pasir di situ yang dilakukan di antara pukul 9 pagi hingga pukul 7 malam, pemandangan di sekitar tasik tersebut kini berhiaskan beberapa bekas lombong.
Malah tidak jauh dari lombong-lombong yang telah diteroka itu, bermacam jenis jentera bagi tujuan mengorek pasir seperti jentera pengorek, mesin sedut pasir dan membuang air berdiri megah.

Friday, October 15, 2010

mangsa korban bas ekspres Simpang Ampat bertambah....?

Berita harian-Lagi mangsa korban bas ekspres Simpang Ampat

MELAKA: Seorang lagi mangsa nahas bas ekspres di Simpang Ampat, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Ahad lalu, meninggal dunia, tengah malam tadi, menjadikan semua 13 terkorban setakat ini.

Sharifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 20, yang kritikal akibat terbabit dalam nahas ngeri di Kilometer 223 lebuh raya berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah di sini, meninggal dunia jam 12.05 malam tadi.
Jenazah penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur itu dituntut keluarganya, awal pagi tadi dan dilaporkan dikebumikan di Kampung Padang Payung, Marang, Terengganu.

lagi kes hina sultan johor..?

Bernama-Polis siasat perbuatan hina Sultan Johor dalam Facebook

JOHOR BAHRU: Polis sudah memulakan siasatan terhadap individu yang didakwa menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook berhubung pengurniaan kenderaan milik baginda kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata siasatan dibuat selepas polis menerima satu laporan mengenai laman Facebook itu pada jam 4.33 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan.

"Kita beri jaminan akan siasat laman sosial ini yang dilaporkan mengandungi maklumat palsu. Jika ada unsur hasutan, siasatan akan dijalankan dan kita akan serahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, bagi mengelak pengendali laman itu daripada dikesan, individu berkenaan meletakkan gambar profil seorang wanita bagi mengelirukan pengguna Facebook dan pihak berkuasa.

Ditanya tentang kes seorang individu menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, juga menerusi Facebook, Mohd Mokhtar berkata kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya, baru-baru ini.

Monday, October 11, 2010

tahun lima dah pandai jual daun ketum, klu besar nanti?

Kosmo-Murid tahun 5 jual air ketum
SEBUAH warung yang didakwa dijadikan tempat menjual air ketum di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman semalam.

KEMAMAN - Seorang murid lelaki tahun lima sebuah sekolah di sini kerap ponteng kerana membantu keluarganya mencari wang dengan menjual air ketum.
Kegiatan itu terbongkar apabila dia ditahan sepasukan anggota polis yang membuat serbuan di sebuah warung di Kampung Lubuk Lesung di sini kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

Ketika serbuan, kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan ditemui bersendirian bersama lapan paket air ketum yang dipercayai akan dijual kepada pelanggan di sekitar kampung tersebut.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, pihaknya menyerbu warung yang terletak di tepi jalan Jerangau-Jabor itu setelah menerima maklumat daripada orang awam.
Katanya, siasatan awal mendapati air ketum itu adalah milik bapa kanak-kanak itu yang sebelum ini pernah ditangkap kerana menjual bahan yang sama.
Selain itu, ujarnya, ibu dan kakak kanak-kanak itu yang berusia 17 tahun juga pernah ditahan kerana kesalahan serupa.

tragedi 10.10.10 - Percikan darah dalam jeritan

Mayat-mayat bergelimpangan dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah kelmarin.


SEREMBAN - "Badan saya menggigil apabila terasa darah panas memercik ke muka saya sebelum saya ternampak pula beberapa kepala penumpang hancur akibat dihempap bas yang dinaiki.
"Beberapa penumpang lain pula menjerit-jerit kesakitan akibat tersepit dicelah-celah serpihan bas."

Demikian cerita detik-detik ngeri yang dialami oleh seorang penumpang bas Ekspres Delima, Tew Chi Ling, 18, yang terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan 12 nyawa dan 38 lagi cedera di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka kelmarin.
Dalam tragedi pada pukul 6.40 petang itu, bas Ekspres Delima yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur terbabas lalu merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah van, tiga buah kereta serta sebuah bas lain.
Menurut Chi Ling, kejadian itu sangat menakutkan dan dia sendiri turut menangis.
"Bukan setakat muka saya dipenuhi darah malah dinding bas yang kami naik juga terpercik darah," ceritanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini semalam.
Kata remaja itu lagi, dia terperangkap selama beberapa minit di dalam bas sebelum dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
"Sehingga hari ini saya seolah-olah masih terdengar suara-suara tangisan meminta tolong dan lebih menakutkan apabila saya kerap terbayangkan mangsa-mangsa yang maut di depan mata saya," katanya.

Sunday, October 3, 2010

rakyat Bangladesh maut tangan tersepit di celah mesin

Kosmo -Maut tangan tersepit mesin


INILAH mesin memproses batu kuari Kawasan Perindustrian Ringan Keramat Pulai yang mengorbankan nyawa seorang pekerja setelah tangannya tersepit semalam.



IPOH – Seorang pekerja rakyat Bangladesh maut selepas kedua-dua tangannya tersepit di celah mesin ketika bekerja di sebuah kilang memproses batu kuari di kawasan Perindustrian Ringan Keramat Pulai, Jalan Ipoh-Cameron Highlands di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian ngeri pada pukul 4.58 petang itu, mangsa Alamgir Kabir, 35, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tangan kirinya putus manakala tangan kanannya cedera.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian mangsa dikatakan sedang mengendalikan sebuah mesin sebelum kedua-dua belah tangannya tersepit di celah mesin yang sedang bergerak itu.
Menurut beliau, para pekerja yang berada di situ bertindak menutup suis mesin berkenaan apabila terdengar mangsa menjerit kesakitan.
“Pekerja kuari itu kemudian memanggil pasukan bomba dan penyelamat untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit,” kata beliau.

Pemandu teksi ‘raja Kuala Lumpur’

Kosmo-‘Kami raja Kuala Lumpur’

KAWASAN pondok di hadapan Hotel Swiss Garden di Jalan Pudu antara kawasan yang dikuasai kumpulan teksi yang berlagak umpama raja di kawasan itu.



KUALA LUMPUR – ‘Kami raja di segi tiga emas, KL ini.’ Itu laungan angkuh sekelompok pemandu teksi yang menganggap segitiga emas seperti Bukit Bintang, KLCC, Kota Raya, Pudu dan Chow Kit adalah kawasan milik mereka untuk mencari rezeki ‘sumbang’.
Dengan lagak ala gangster, kumpulan itu yang dianggarkan seramai 30 orang bertindak menguasai kawasan tersebut dengan menghalau pemandu-pemandu teksi lain yang ingin turut sama mengambil penumpang di tempat itu.
Malah lebih angkuh lagi, kumpulan itu hanya mengambil penumpang asing sahaja terutama pelancong dari luar negara berbanding penumpang tempatan dengan harapan untuk mengaut untung daripada tambang yang tinggi.
Modus operandi sangat mudah. Dengan tidak menggunakan meter seperti yang ditetapkan, mereka meletakkan tambang secara sesuka hati kepada pelancong asing itu yang pasti dapat membayar jumlah tambang itu.
Bayangkan, tambang sebanyak kira-kira RM30 hingga RM50 dikenakan untuk jarak perjalanan yang pendek seperti dari Bukit Bintang ke KLCC atau destinasi yang lain.